Guan Eng beri jaminan ahli perniagaan bakal dapat tanah lot - Saksi

Guan Eng beri jaminan ahli perniagaan bakal dapat tanah lot – Saksi

LIM Guan Eng ketika hadir perbicaraan kes rasuah membabitkan dirinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan, mendiang Datuk Ewe Swee Kheng, telah mula membiayai syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) sejak tahun 2013 walaupun tanah Lot 702 di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Pinang itu hanya dipindah milik kepada syarikat tersebut pada tahun 2015.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli berkata, tindakan itu dianggap janggal kerana pembiayaan dibuat lebih awal daripada tarikh pemindahan milik tanah.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembiayaan tersebut dibuat oleh mendiang selepas menerima jaminan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng, bahawa beliau akan memperoleh tanah berkenaan.

“Dalam rakaman percakapan bertarikh 14 Ogos 2021, Datuk Ewe mendedahkan secara terperinci mengenai pertemuan awal dengan YB Lim serta persetujuan antara mereka bagi memastikan beliau mendapat tanah Lot 702.

“Keterangan itu turut disokong oleh Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli (Pengarah CZBUCG) yang mengesahkan wujud persetujuan bersama YB Lim. Akhirnya, tanah tersebut memang dipindah milik kepada syarikat Datuk Ewe,” katanya ketika membacakan penyataan bertulis di hadapan Hakim Azura Alwi.

Zulhilmi merupakan saksi pendakwaan ke-38 dalam perbicaraan kes rasuah Guan Eng membabitkan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang.

Menurut saksi itu, siasatan mendapati syarikat milik Swee Kheng, Ewein Zenith Sdn. Bhd. (EZSB), telah membuat beberapa bayaran awal kepada CZBUCG sebagai sebahagian daripada perjanjian pemilikan tanah Lot 702 manakala baki RM53.2 juta dibiayai melalui pinjaman daripada sebuah bank tempatan. 

“Bayaran itu dibuat meskipun tanah berkenaan masih belum dipindah milik kepada CZBUCG. Tindakan ini menunjukkan Datuk Ewe yakin kerana telah diberi jaminan oleh OKT (Guan Eng) berhubung Lot 702,” katanya.

Menurut Zulhilmi, pembiayaan awal oleh Swee Kheng itu menimbulkan persoalan besar dalam siasatan kerana ia melibatkan transaksi bernilai puluhan juta ringgit tanpa sebarang dokumen rasmi yang menjamin pemilikan tanah ketika itu.

“Berdasarkan bukti yang diperoleh, pembiayaan tersebut tidak munasabah jika tidak disertai jaminan atau persetujuan daripada pihak berkuasa negeri. 

“Namun Datuk Ewe tetap meneruskannya kerana percaya jaminan daripada Guan Eng ketika itu akan ditunaikan,” katanya.

Zulhilmi berkata, urusan itu berkait rapat dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang melibatkan pelupusan dua lot tanah kerajaan negeri, iaitu Lot 702 dan Lot 713, sebagai sebahagian daripada mekanisme pembayaran projek berkenaan.

Jelasnya, sekiranya tiada sebarang urusan atau dealing awal antara Guan Eng dengan dua ahli perniagaan terbabit, maka dua lot tanah milik kerajaan negeri tidak akan terlepas secara salah sehingga menyebabkan kerajaan Pulau Pinang mengalami kerugian.

Dua lot tanah kedua-duanya terletak di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Pinang. 

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta. 

Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 juta antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua pula, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan berhampiran sebuah hotel, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 2 pagi pada Mac 2011.

Selain itu, beliau turut berdepan dengan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, di Bangunan Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN