PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng kekal didapati memfitnah sebuah syarikat e-dagang, MonSpace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Jessy Lai pada lapan tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau hanya perlu membayar ganti rugi RM75,000 berbanding RM2 juta yang diperintahkan terhadapnya sebelum ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Faizah Jamaludin membenarkan rayuannya berhubung jumlah tersebut.
Pada 16 Mac 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Lip Eng membayar ganti rugi RM2 juta dan kos RM250,000 kerana memfitnah dan mencemarkan nama baik syarikat itu dan Lai.
Ketika membacakan penghakiman panel terbabit, Hakim Sequerah menyatakan bahawa jumlah RM2 juta itu adalah keterlaluan.
Panel hakim turut mengurangkan jumlah kos yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes berkenaan iaitu daripada RM250,000 kepada RM50,000.
Sementara itu, panel terbabit bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan yang dibuat oleh Lip Eng adalah fitnah dan telah mencemarkan reputasi plaintif.
Beliau berkata, kenyataan Lip Eng dibuat berdasarkan andaian dan mendakwa Lai telah memberi rasuah kepada pegawai kerajaan untuk mengelak tindakan penguatkuasaan.
“Defendan telah mengaku beliau tidak mendapatkan penjelasan daripada plaintif sebelum membuat kenyataan itu. Beliau juga gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk mengesahkan kebenaran.
“Ia adalah satu dakwaan serius yang telah menjejaskan reputasi plaintif. Oleh itu, tiada alasan untuk campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman plaintif,” katanya.
MonSpace dan Lai diwakili peguam, Ivanpal Singh Grewal dan Dhanesh Subramaniam Nair manakala Lip Eng diwakili peguam, Datuk Sankara Nair.
Lai dan MonSpace (plaintif pertama dan kedua) memfailkan saman terhadap Lip Eng pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan memfitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahass Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari negara China.
Lai berkata, Lip Eng membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.
Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya. – UTUSAN










