KUALA LUMPUR: Sofia Rini Buyong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memfitnah ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak melakukan perbuatan tidak bermoral, April lalu.
Pengakuan itu dibuat Sofia Rini, 50, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Mengikut pertuduhan, Sofia Rini didakwa telah mengeluarkan kenyataan mendakwa Farhash tidak lagi menjadi warga negara Malaysia dan melarikan sejumlah wang.
Perbuatan yang didakwa boleh merosakkan imej ahli perniagaan itu dibuat menerusi satu rakaman video pada pukul 6.30 petang, 26 April lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, peguam bela, Shugan Raman yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM500 atas alasan jumlah jaminan itu di luar kemampuan anak guamnya selain mempunyai penyakit darah tinggi dan diabetes.
“Tertuduh yang tinggal bersama ibunya sejak suami tertuduh meninggal pada 2025 menanggung seorang anak lelaki. Tertuduh juga telah bankrap dan kini tiada pekerjaan tetap.
“Tertuduh berada di bawah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jaminan RM10,000 telah dibayar kepada SPRM, jadi kesemua wangnya telah disekat di situ,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 28 Ogos ini.
Pada 5 Mei lalu, Farhash Wafa menafikan dakwaan terlibat dengan kegiatan mencuri dan mengubah wang haram melibatkan berbilion ringgit ke luar negara susulan penyebaran perbualan dua individu dikenali sebagai Sofia Rini dan Albert Tei.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian membuat laporan polis dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang. – UTUSAN










