SHAH ALAM: Pembantu hal ehwal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bagi mengurangkan kompaun sebuah syarikat yang disiasat bahagian pengurusan halal, pada dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Amir Zubir, 45, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan termasuk pilihan yang dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Pembantu Hal Ehwal Bahagian Pengurusan Halal JAIS berusia 45 tahun itu didakwa secara rasuah menerima RM8,000 daripada pemilik sebuah syarikat melalui akaun miliknya.
Suapan tersebut adalah sebagai dorongan untuk mengurangkan bayaran kompaun terhadap syarikat terbabit yang sedang disiasat. Kesemua kesalahan itu dibuat di cawangan sebuah bank di Sungai Besar pada 18 Januari 2023.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Bapa kepada tiga orang anak itu juga didakwa pertuduhan pilihan atas kesalahan sama mengikut Seksyen 165 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM15,000 bersama syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap awal bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Swinder Singh mewakili tertuduh dalam mitigasinya memohon jaminan rendah kerana anak guamnya merupakan penanggung tunggal kepada isteri dan tiga orang anak selain menjaga ibunya berusia 75 tahun yang sedang uzur.
Malah, beliau juga memohon mahkamah mempertimbang perkhidmatannya selama 25 tahun di jabatan tersebut.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanya RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 September depan. – UTUSAN










