Guru tidak mengaku sebar maklumat Zara dimasukkan dalam mesin basuh - Utusan Malaysia

Guru tidak mengaku sebar maklumat Zara dimasukkan dalam mesin basuh

SITI Hajar Alfah Sharuddin dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Sepang, Selangor atas pertuduhan menyebarkan maklumat tidak sah berkait dengan kematian Zara Qairina Mahathir. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang guru sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebarkan maklumat tidak sah berkait dengan kematian Zara Qairina Mahathir.

Mengikut pertuduhan, Siti Hajar Alfah Sharuddin, 39, didakwa membuat kenyataan tersebut di akaun TikTok miliknya, SHA_Abrienda yang kemudiannya telah ditonton dan didengar oleh seorang anggota polis kira-kira pukul 1.20 tengah hari, 6 Ogos 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pertuduhan ke atas guru tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd. Izhar dan Christhoper Enteri Mawan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zaiful Bahrin Kamde.

Pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, namun pembelaan memohon agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan tertuduh merupakan seorang penjawat awam dengan gaji RM5,000 sebulan dan juga seorang ibu tunggal.

“Tertuduh turut menanggung kedua ibu bapanya yang mana ibunya telah diserang dengan angin Ahmar. Tertuduh juga mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah dan telah memberikan kerjasama penuh sewaktu siasatan. Tertuduh juga hadir sendiri untuk menghadapi pendakwaan hari ini,” kata Mohamad Zaiful.

Majistret Khairatul Animah Jelani menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Oktober ini untuk serahan dokumen.

Zara Qairina iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pukul 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Kes kematian Allahyarham mencetuskan perhatian umum apabila pada peringkat awal diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Namun, tular di media sosial dakwaan kononnya mangsa maut selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×