KUALA LUMPUR: Seorang bekas pekerja sebuah sekolah antarabangsa di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas satu pertuduhan pecah amanah dan dua pertuduhan menipu membabitkan wang berjumlah RM142,354 tahun lalu.
Tertuduh, A. Komala, 33, yang ketika kejadian bekerja sebagai pegawai eksekutif dan pembantu peribadi di sekolah terbabit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan pertama, Komala didakwa melakukan pecah amanah wang sekolah berkenaan berjumlah RM142,354 bagi kegunaan sendiri di sekolah tersebut yang terletak di Persiaran Stonor, Dang Wangi di sini di antara 11 dan 28 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau tidak melebihi 14 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi dua lagi pertuduhan, pada tempat dan tarikh sama, tertuduh didakwa menipu dua lelaki warga Jepun dengan memperdaya mereka supaya mempercayai invois pembayaran yuran sekolah anak masing-masing yang dikemukakan tertuduh.
Perbuatan itu mendorong mangsa memindahkan wang masing-masing berjumlah RM94,509 dan RM47,845 ke dalam akaun bank atas nama syarikat AK Multi Resources milik suami tertuduh.
Bagi pertuduhan ini, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau tidak melebihi 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela Kelvinder Singh Sindhu yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










