SHAH ALAM: Seorang guru besar sebuah sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi menggunakan sumbangan MyKasih Foundation berjumlah RM16,525.45, pada Disember 2020 dan Januari 2021.
Tertuduh, Nor Aidah Baba membuat pengakuan demikian selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan pertama, pegawai perkhidmatan pendidikan berusia 54 tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bumbun itu didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM1,550 sumbangan MyKasih Foundation, pada 3 Disember 2020.
Kemudian, pada 11 Januari 2021 dia sebagai guru besar di sekolah berkenaan dituduh melakukan perkara sama melibatkan wang berjumlah RM14,975.54 dengan curangnya menjadikan harta itu bagi kegunaannya sendiri.
Kesalahan itu masing-masing dilakukan dekat sekolah terbabit dan sebuah bank di Telok Panglima Garang. Justeru, dia dituduh dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan syarat tambahan iaitu melapor diri sekali setiap bulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, di sini selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri sementara tertuduh diwakili peguam Nur Fadhilah Zainuddin.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 Oktober. – UTUSAN










