Bagan Nakhoda Omar digempur, 79 PATI ditahan

Bagan Nakhoda Omar digempur, 79 PATI, tujuh tekong tempata ditahan

PATI Bagan Nakhoda Omar
SALAH seorang PATI cuba bersembunyi dengan terjun ke dalam laut bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa ketika serbuan MKN dekat kawasan Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Seramai 79 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara serta tujuh tekong warga tempatan ditahan pihak berkuasa susulan penggempuran kawasan sekitar Bagan Nakhoda Omar termasuk perkampungan nelayan, malam tadi.

Dalam operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu, 28 PATI yang ditahan pihak berkuasa dipercayai baru tiba di perairan kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, serbuan tersebut juga membawa kepada pemeriksaan terhadap 125 individu di kawasan operasi yang turut melibatkan pesisir pantai dan jeti.

“Kita tahan 69 PATI termasuk 10 wanita. Ia merangkumi warga Indonesia, Thailand, Myanmar, Bangladesh, India dan Pakistan.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran, menggaji dan melindungi warga asing, tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh dan penyalahgunaan pas lawatan ,” katanya pada sidang akhbar di sini, awal pagi tadi.

Tegasnya, operasi tersebut dijalankan oleh pelbagai agensi bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan kedaulatan perairan negeri ini.

Ketika serbuan yang bermula kira-kira pukul 1 pagi itu, tujuh daripada mereka dilihat nekad terjun ke dalam laut dan bersembunyi di bawah jeti hampir sejam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, sebelum mereka dicekup.

Kesemua PATI bertempiaran lari selepas diserbu itu bagaimanapun dikepung oleh pihak berkuasa yang menggunakan bot bagi mengesan mana-mana PATI cuba bersembunyi di celah bot nelayan dan struktur jeti untuk melarikan diri.

Selain itu, Mohd. Zaini memaklumkan, operasi itu turut mengesan modus operandi sindiket yang mengeksploitasi PATI sebagai nelayan di perairan negeri ini.

“Mereka mempunyai sistem yang tersusun dengan beberapa lapisan keselamatan. Bukan sahaja premis, malah laluan dan modus operandi perlu dikaji semula bagi memastikan operasi lebih berkesan,” katanya.

Mohd. Zaini memberitahu, daripada jumlah tangkapan tersebut 35 daripadanya termasuk tujuh tekong warga tempatan yang ditahan disiasat di bawah Akta Antipenyeludupan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dalam operasi sama, dua kes turut dikesan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan minyak diesel oleh KPDN Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN