89 individu Rohingya terlibat jenayah sejak 2024

89 individu Rohingya terlibat jenayah sejak 2024

MOHD. Khalid Ismail semasa sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat di Kuala Lumpur, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penglibatan etnik Rohingya dalam kegiatan jenayah di negara ini masih dianggap rendah dengan hanya 89 individu daripada kelompok berkenaan direkodkan terlibat dalam pelbagai kesalahan sepanjang tempoh 2024 hingga tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, angka itu mewakili hanya 0.02 peratus daripada keseluruhan kes jenayah yang direkodkan di negara ini, sekali gus menunjukkan penglibatan komuniti berkenaan dalam kegiatan jenayah berada pada tahap yang sangat kecil.

Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek kawalan dan pemantauan sentiasa diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang penglibatan dalam aktiviti jenayah.

“Saya dimaklumkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bahawa mereka telah mendaftarkan kira-kira 215,000 pelarian Rohingya.

“Pada masa sama, kami juga mempunyai data yang dikemas kini dari semasa ke semasa dengan bantuan Jabatan Imigresen bagi tujuan pendaftaran, sekali gus membolehkan lokasi serta pekerjaan mereka dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat di sini, hari ini.

Mohd. Khalid berkata, dengan adanya maklumat tersebut, pihak berkuasa dapat mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku sebarang jenayah yang melibatkan etnik berkenaan kerana lokasi dan maklumat berkaitan mereka berada dalam rekod.

Menurut beliau, pendekatan itu membantu pihak berkuasa menjalankan pemantauan secara lebih berkesan selain memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN