Pencuri kabel perlu disebat

Pencuri kabel perlu disebat

KES kecurian kabel yang membabitkan rel perlu dikenakan hukuman lebih berat seperti sebatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kecurian kabel yang menyasarkan infrastruktur rel utama negara perlu diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah yang mempunyai peruntukan khusus dan hukuman lebih berat seperti sebatan.

Sejak 2023 hingga tahun lalu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menanggung kerugian kira-kira RM20.6 juta yang turut menjejaskan operasi perkhidmatan rel.

Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, Seksyen 379 Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri secara am) dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan (kesalahan pencerobohan jenayah) yang sering digunakan bagi pendakwaan terbukti gagal memberi kesan pencegahan sewajarnya.

Katanya, satu akta khusus perlu digubal bagi menangani isu kecurian kabel dengan mewujudkan hukuman pencegahan paling berkesan iaitu sebatan berserta penjara.

“Penjenayah sering kali tidak mengendahkan hukuman penjara semata-mata, namun hukuman sebat terbukti mampu memberikan kesan psikologi dan fizikal yang mendalam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Shahul Hamid berkata, pengoperasian (Laluan Rel Pantai Timur) ECRL pada masa akan datang turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan orang ramai, jika jenayah itu tidak dibendung segera.

Beliau berkata, pihak pengendali rel dan agensi penguat kuasa perlu memaksimumkan penggunaan teknologi canggih seperti dron dan penderia (sensor) untuk memantau kawasan rel yang diwartakan sebagai zon larangan dan keselamatan.

“Penggunaan dron secara berkala amat disyorkan kerana sebarang kelibat individu yang dikesan menceroboh membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tangkapan serta-merta, walaupun jenayah belum berlaku.

“Kabel-kabel juga perlu disembunyikan daripada pandangan umum dan disalut dengan penutup keluli bermutu tinggi bagi menyukarkan proses pemotongan,” katanya.

Shahul Hamid berkata, akta baharu juga perlu menyasarkan pembeli di pasaran gelap, khususnya pengusaha barangan lusuh atau besi buruk yang menjadi punca utama percambahan jenayah berkenaan.

“Pembeli harus berasa gerun untuk mengambil barang curi menerusi pengenaan tindakan tegas serta hukuman yang setimpal terhadap pihak yang bersekongkol membeli atau menyimpan kabel curi itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan menggesa pindaan terhadap undang-undang sedia ada bagi memberi hukuman lebih berat terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan kecurian kabel infrastruktur pengangkutan awam.

Katanya, langkah itu sudah dibincangkan bersama pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan tindakan lebih tegas dapat dikenakan terhadap pelaku yang mengancam keselamatan sistem pengangkutan awam negara.

Menurutnya, kes kecurian kabel tidak boleh lagi dianggap sebagai kes kecurian biasa kerana ia berpotensi menjejaskan keselamatan orang ramai.

“Perkara ini sedang disiasat oleh pihak polis dan kita telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi polis supaya tindakan yang lebih tegas dapat diambil terhadap kes-kes kecurian kabel ini.

“Malah, kita telah mencadangkan kepada KDN supaya undang-undang sedia ada dipinda bagi memberikan hukuman lebih berat kepada pencuri kabel,” katanya pada sidang akhbar media pengumuman garis panduan penggunaan kenderaan de-controlled dan pikap bagi membawa barangan di sini, semalam.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN