PETALING JAYA: Seorang gelandangan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian membakar beberapa buah kenderaan di Pandan Mewah dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, lelaki terbabit ditahan pada pukul 9.41 malam hari sama selepas laporan dibuat oleh mangsa dan video insiden itu turut tular di media sosial.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada pukul 4.21 pagi apabila lelaki terbabit dipercayai membakar beberapa buah kenderaan di kawasan berkenaan.
“Sehingga kini, sebanyak enam laporan polis diterima daripada pemilik kenderaan dan rumah yang terjejas akibat kebakaran tersebut.
“Motif kejadian masih belum dapat dipastikan. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










