GEORGE TOWN : Seorang lelaki dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa dalam sebatang longkang berhampiran sebuah premis perniagaan di Jalan Kedah di sini, kira-kira pukul 9.26 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, maklumat mengenai penemuan lelaki berusia 37 tahun itu diterima daripada orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa yang beralamat di Kapar, Selangor itu dipercayai merupakan seorang gelandangan dan sering menginap di kawasan berhampiran lokasi kejadian sebelum ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di lokasi serta pada tubuh mangsa seterusnya tidak menemukan sebarang unsur yang boleh mengaitkan kematian tersebut dengan kegiatan jenayah.
“Mayat mangsa kini telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat yang dijadual dijalankan esok,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Swee Sake, kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut buat masa ini dan satu laporan mati mengejut (SDR) juga telah dibuka bagi tujuan siasatan lanjut.-UTUSAN










