6,184 kandungan penipuan dalam talian diturunkan sejak 2023

6,184 kandungan penipuan dalam talian diturunkan sejak 2023

RUSDI Mohd Isa (kiri) menunjukkan portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada sidang akhbar kejayaan operasi JSJK di Menara KPJ di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,184 kandungan penipuan dalam talian diturunkan daripada platform media sosial sejak 2023 hingga September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, ia hasil pemantauan oleh Unit Police Cyber Investigation Response Centre (PCIRC) di bawah Bahagian Siber, Taktikal dan Teknikal JSJK  Bukit Aman.

“PCIRC memantau kandungan dan iklan penipuan secara 24 jam setiap hari. 

“Sejak 2023, sebanyak 6,184 kandungan dikenal pasti dan telah diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hasil permohonan yang dibuat oleh PCIRC,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK di sini, hari ini. 

Rusdi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,073 kandungan membabitkan penipuan pelaburan, diikuti penipuan pinjaman (4,557) dan urusan jual beli serta penyewaan kad mesin juruwang automatik (ATM) sebanyak 554.

Jelasnya, pada tahun ini sahaja, sebanyak 3,179 kandungan telah diturunkan sejak Januari hingga September lalu.

“Unit PCIRC bertanggungjawab memantau, menganalisis, membuat profil, menyediakan laporan polis serta menjalankan siasatan terhadap kes berkaitan media sosial yang melibatkan unsur penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap pelbagai taktik penipuan yang semakin berleluasa di media sosial.

“Jangan mudah terpedaya. Semak dahulu dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, mengenai penipuan pinjaman tidak wujud, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan sebelum ‘pinjaman’ diluluskan.

“Selepas bayaran dibuat, sindiket akan menghilangkan diri,” jelasnya.

Rusdi turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak meminjam atau menyewakan kad ATM kepada pihak ketiga.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 424 dan 137 Kanun Keseksaan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN