Lapan kediaman dijadikan ‘pusat panggilan’ diserbu, 74 warga asing ditahan 

Lapan kediaman dijadikan ‘pusat panggilan’ diserbu, 74 warga asing ditahan 

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 74 warga asing ditahan selepas polis menyerbu lapan kediaman dipercayai dijadikan `pusat panggilan’ bagi menjalan dan mempromosikan aktiviti perjudian serta penipuan dalam talian.

Kesemua suspek yang ditahan adalah 67 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Daripada jumlah itu, seramai 61 individu merupakan warga China, 12 warga Vietnam dan  seorang lagi warga Taiwan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, operasi berkenaan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Dadu Khas dalam serbuan secara serentak di beberapa premis sekitar Kuala Lumpur pada 28 September lalu.

Katanya, operasi yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman itu menyasarkan premis kediaman yang dipercayai dijadikan `pusat panggilan’ oleh sindiket membabitkan warga asing.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa aktiviti jenayah dalam talian termasuk mempromosikan perjudian dalam talian, penipuan cinta atau `love scam’ serta penipuan pelaburan tidak wujud.

“Premis berkenaan turut dipercayai dijadikan hostel atau tempat penginapan kepada operator `pusat panggilan’ terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian termasuk set komputer, komputer riba, modem dan telefon bimbit pelbagai jenama.

Turut dirampas satu paket plastik lutsinar mengandungi lima biji pil berwarna kemerahan disyaki dadah jenis yaba anggaran berat 0.8 gram.

“Selain itu, polis merampas satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 5.72 gram,” jelasnya.

Tambah Kumar, pihaknya turut menjalankan semakan awal terhadap dokumen pengenalan diri yang dirampas daripada kesemua suspek.

“Sebanyak lapan kertas siasatan dibuka dan siasatan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Beliau menegaskan, PDRM sentiasa komited dalam membanteras aktiviti perjudian kerana jenayah berkenaan memberi impak negatif terhadap kestabilan ekonomi negara dan keharmonian sosial.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh terhadap semua bentuk aktiviti perjudian tanpa lesen akan terus dipergiat membabitkan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan.

“Orang ramai diminta supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×