Banteras penipuan dalam talian

Banteras penipuan dalam talian

TANPA langkah keselamatan yang kukuh dan efisien masyarakat akan mudah menjadi mangsa jenayah siber.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG ramai menyambut baik pengumuman mengenai pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu.

Langkah tersebut dilihat dapat mengurangkan sedikit beban transaksi rakyat dalam persekitaran kos sara hidup yang terus meningkat.

Bagi mereka yang kerap menggunakan mesin juruwang automatik (ATM), pemansuhan caj ini memberi sedikit kelegaan dan membawa makna besar khususnya di kawasan yang mempunyai akses ATM terhad.

Di sebalik pengumuman itu, Rangkaian pembayaran nasional, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd (PayNet) melaporkan sejumlah 8.44 bilion transaksi pembayaran digital pada 2025, sekali gus mencerminkan kaedah itu terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, PayNet memaklumkan, peningkatan penggunaan pembayaran digital menimbulkan cabaran baharu, khususnya penipuan kewangan semakin canggih, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), deepfake dan kejuruteraan sosial yang lebih sukar untuk dikesan dan dicegah.

Sememangnya tidak dinafikan, masih banyak aspek lain yang perlu diberi perhatian khususnya dari segi kesediaan rakyat dan keselamatan perlindungan data.

Isu keselamatan siber seperti pencurian data dan aktiviti penggodaman turut menjadi kebimbangan besar. Tanpa langkah keselamatan yang kukuh dan efisien, masyarakat akan mudah menjadi mangsa jenayah siber.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail ketika berucap di Majlis Pelancaran “Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat” pada 15 Jun lalu berkata kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian pada 2025 mencecah RM2.97 bilion, meningkat RM1.40 bilion berbanding RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya. Ini jelas membuktikan trend jenayah siber semakin membimbangkan.

Menurut beliau lagi, angka yang direkodkan itu bukan sekadar statistik sebaliknya melibatkan ribuan mangsa yang kehilangan sumber pendapatan dan masa depan akibat diperdaya sindiket penipuan.

Justeru usaha pencegahan, pendidikan dan pembudayaan kesedaran keselamatan harus menjadi keutamaan yang perlu diperkasakan secara berterusan.

Pihak berkaitan perlu mempergiatkan usaha mendidik masyarakat tentang penggunaan teknologi kewangan secara bijak dan selamat.

Kempen kesedaran, bengkel literasi digital, kursus kewangan dan sebagainya perlu disasarkan khususnya kepada golongan rentan agar mereka tidak tercicir dalam arus digitalisasi ini.

Tidak dinafikan, urusan pembelian tanpa tunai menawarkan lebih fleksibiliti kerana pengguna boleh membuat transaksi pada bila-bila masa tanpa kekangan lokasi, waktu dan keadaan.

Pengguna juga mempunyai banyak pilihan tanpa perlu bersesak. Ia turut membantu menjimatkan perbelanjaan lain seperti kos minyak kenderaan, bayaran tol dan perbelanjaan berkaitan perjalanan.

Namun harus diingat, peralihan kepada dunia tanpa tunai juga tidak lari daripada cabaran.

Golongan warga emas, golongan miskin bandar dan juga mereka yang tinggal di kawasan luar bandar mungkin menghadapi kesukaran untuk mengikuti perubahan ini akibat kekangan teknologi, liputan internet yang lemah serta kurangnya pengetahuan digital.

Justeru, isu ini tidak harus dipandang ringan oleh pihak yang berkepentingan. Harus ada tindak balas positif bagi mengelakkan segelintir rakyat tertinggal dalam mengejar arus pemodenan. – UTUSAN

MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN