PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggempur syarikat disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import serta eksport sehingga mengakibatkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan RM350 juta sejak 2020 hingga 2025.
Operasi bersepadu Op Grip itu dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Menurut sumber, serbuan membabitkan syarikat pengimport tayar, gudang serta kontena penyimpanan tayar.
“Hasil serbuan, SPRM telah membekukan akaun peribadi dan syarikat berjumlah kira-kira RM70 juta. Siasatan turut menumpukan usaha mengesan dan menyita aset lain yang dipercayai diperoleh sama ada oleh pegawai kastam atau pengimport tayar melalui aktiviti penggubahan wang haram,” katanya.
Tambah sumber, isu tayar terpakai yang tidak menepati piawaian diumpamakan seperti ‘bom jangka’ kerana mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan boleh mengakibatkan kemalangan, sekali gus memerlukan tindakan tegas pihak berkuasa.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan berkenaan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara,” tegasnya. – UTUSAN










