JPJ KL sita tiga bas henti-henti cukai jalan tamat tempoh

JPJ KL sita tiga bas henti-henti cukai jalan tamat tempoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur telah menyita tiga bas henti-henti yang membawa penumpang termasuk pelancong pada Ahad lalu selepas mendapati cukai jalan kenderaan itu sudah tamat tempoh. 

Menerusi operasi sama, pemeriksaan turut mendapati sijil pemeriksaan PUSPAKOM bas terbabit juga tamat tempoh sejak Mei dan Jun lalu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, tindakan sitaan kemudian dijalankan selepas pihaknya mendapati bas yang ditahan itu beroperasi dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat sejak April dan Jun 2025.

“Kesalahan ini sangat membahayakan kerana ia melibatkan kenderaan awam yang membawa penumpang termasuk pelancong di kawasan tumpuan pusat bandar.

“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua pemandu bas terbabit merupakan warga tempatan.

Jelasnya, saman dikeluarkan kepada pemandu serta pemilik kenderaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.

“JPJ memandang serius sebarang bentuk ketidakpatuhan terutama melibatkan kenderaan awam yang mengangkut penumpang. Kita akan terus memperkukuh penguatkuasaan harian bagi memastikan keselamatan dan integriti sistem pengangkutan awam sentiasa terpelihara,” jelasnya.

Tambahnya, JPJ kerjasama masyarakat dengan menyalurkan maklumat melalui aplikasi MyJPJ aau e-Aduan atau emel rasmi [email protected].

“Pengusaha kenderaan diingatkan supaya memastikan semua dokumen sah dan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum digunakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×