PETALING JAYA: Sebanyak 136 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan dalam Op Pemandu Warga Asing (Pewa) bersepadu di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Operasi bersepadu itu dijalankan JPJ KL bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata, sebanyak 36 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 20 kenderaan diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Selain itu, sebanyak 136 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi penguatkuasaan tersebut.
“Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan pengubahsuaian kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak tujuh forklift (jentera angkat susun), tiga kereta, lapan motosikal dan dua motosikal elektrik (EV) disita bagi siasatan lanjut.
Hamidi berkata, operasi ini menekankan kepentingan pematuhan terhadap peraturan jalan raya dan keselamatan kenderaan bagi mengelakkan risiko kemalangan. – UTUSAN








