KUALA LUMPUR: Kereta Lamborghini Aventador, Porsche 911, Rolls-Royce dan Aston Martin antara 92 buah kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan sejak Julai lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, menerusi penguatkuasaan Op Luxury itu sebanyak 241 kenderaan mewah.
“Minggu ini sahaja, beberapa kenderaan mewah seperti Lamborghini Aventador dan Porsche 911 disita atas pelbagai kesalahan.
“Dalam tempoh ini, sebanyak 401 kesalahan dikesan membabitkan 177 kes bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insuran (160 kes), tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (45 kes), nombor pendaftaran (10 kes) dan selebihnya lain-lain kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Op Luxury dilaksanakan bagi memastikan pematuhan LKM, insurans, lesen memandu serta aspek teknikal melibatkan kenderaan mewah.
Sementara itu, Hamidi berkata,
sebanyak 939 kenderaan perdagangan telah dikenakan tindakan dengan 2,398 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melalui Ops Perang Lebih Muatan sejak bulan lalu.
Beliah berkata, jumlah itu adalah daripada sebanyak 5,967 kenderaan perdagangan yang telah diperiksa sepanjang tempoh terbabit
Katanya, antara kesalahan dikenal pasti membabitkan membawa muatan berlebihan, kesalahan teknikal, insurans tamat tempoh serta memandu tanpa lesen sah.
“Sebanyak 14 buah kenderaan turut disita dan kesalahan melibatkan pemandu warga tempatan serta warga asing.
“Statistik terbaharu ini menunjukkan bahawa tren ketidakpatuhan masih pada tahap membimbangkan,” katanya.-UTUSAN.











