Dikejar polis sejauh 50 kilometer akibat elak sekatan jalan raya - Utusan Malaysia

Dikejar polis sejauh 50 kilometer akibat elak sekatan jalan raya

TANGKAP layar video memaparkan peronda polis menyekat jalan raya bagi menahan sebuah Perodua Alza yang melarikan diri daripada sekatan polis di Gua Musang, Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Polis mengejar sebuah kereta Perodua Alza yang meloloskan diri daripada sekatan jalan raya di Sungai Terah, di sini sejauh 50 kilometer sebelum berjaya menahannya di Kilometer 47 Jalan Gua Musang – Kuala Krai, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, ketika berdepan sekatan jalan raya di Sungai Terah, suspek berusia 29 tahun bertindak membuat pusingan U secara bahaya dan memecut lari.

“Polis telah mengarahkan dia untuk memberhentikan kenderaan dengan menggunakan siren dan pembesar suara, namun, tidak diendahkan.

“Suspek terus memandu dalam keadaan melulu dengan tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain menuju ke arah Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Choon Foo lagi, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis tidak menjumpai sebarang barang salah, namun, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif ubat penenang jenis Benzo. 

“Berdasarkan keterangan suspek, lelaki itu memaklumkan bahawa dia takut selepas melihat anggota polis yang membuat sekatan.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk tindakan selanjutnya dan direman selama empat hari bermula Isnin lalu,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video di TikTok memaparkan pasukan polis menyekat jalan raya bagi menahan sebuah Perodua Alza di Paloh 2 di sini.

Rakaman video berdurasi 30 saat yang dimuat naik pemilik akaun TikTok ‘Anuar91’ menunjukkan dua peronda polis menghadang jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di situ. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya