Polis buru Datuk Seri palsu besar-besaran - Utusan Malaysia

Polis buru Datuk Seri palsu besar-besaran

SAIFUL AZLY KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang memburu secara besar-besaran ahli perniagaan yang melarikan diri sejurus selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM) berkaitan kes pengubahan wang haram di Putrajaya, Ahad lalu.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber membe­ritahu, ahli perniagaan berusia 32 tahun itu yang memakai gelaran Datuk Seri palsu dipercayai memiliki perniagaan alat telekomunikasi di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara.

Sumber berkata, lelaki tersebut bersekongkol de­ngan dalang sindiket warga China bagi menjalankan judi atas talian di negara ini.

“Dia serta lelaki bergelar Datuk itu merupakan ejen sin­diket bagi mencari lokasi dan peralatan selain merekrut orang bawahan bagi melakukan kegiatan tersebut.

“Lelaki tersebut dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, setakat ini pihaknya masih belum menahan lelaki tersebut.

Jelasnya, gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan kes.

Utusan Malaysia semalam me­laporkan suspek dikatakan berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang ba­ngunan SPRM dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek terdiri daripada dalang utama serta dua anggota polis dalam proses diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam.

Terdahulu, dua anggota polis berpangkat koperal serta lelaki bergelar Datuk direman selama 21 hari bermula semalam sehingga 3 November depan bagi membantu siasatan kes perjudian atas talian di Cheras.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia 34 hingga 39 tahun dikeluarkan Majistret S.Mageswary kira-kira pukul 11 pagi di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, SPRM membongkar kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit de­ngan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan de­ngan menawarkan bantuan modal memulakan perniagaan.

Ini susulan tangkapan lima individu termasuk Datuk dan lelaki bergelar Datuk Seri palsu pada 3 Oktober lalu oleh SPRM selepas seorang selebriti terke­nal dipanggil untuk dirakam per­cakapan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki mendedahkan, pihaknya telah menahan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain akan membuat beberapa siri tangkapan lain.

SPRM juga membekukan kira-kira RM101 juta daripada 736 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta serta merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN