PORT DICKSON: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengesan tumpahan minyak baharu di kawasan Pantai Cermin, Batu 10 di sini yang disyaki dilakukan dengan sengaja oleh pihak tertentu.
Sepatutnya kerja-kerja pembersihan sudah mencapai 90 peratus namun penemuan tompokan minyak baharu dari laut sejak semalam mengakibatkan kerja pembersihan itu mungkin mengambil masa yang lebih lama.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, setakat ini, kira-kira 60 peratus kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak itu sudah selesai dilakukan.
“Kami khuatir ada pihak yang cuba pula mengambil kesempatan dengan sengaja menumpahkan minyak di kawasan ini. Maklumat sudah diberi kepada pihak Jabatan Laut untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, jelas Mohamad Azri, dalam operasi pembersihan yang memasuki hari keempat semalam, pihak yang terlibat telah memasang absorbent boom atau penyerap minyak sepanjang 150 meter di kawasan yang terjejas teruk termasuk di kawasan teluk di Tanjung Tuan, Melaka.
“Pada hari pertama hingga kedua, kami mengumpulkan sisa minyak yang terkumpul berdekatan teluk namun disebabkan arus, minyak itu semakin banyak.
“Selepas kami menggunakan jentera, kami melihat perkembangan positif cuma ambil masa kita nak mengawal minyak memandangkan masih ada tompokan di kawasan laut. Apatah lagi proses pembersihan agak rumit di kawasan bakau kerana tidak boleh menggunakan jentera dan menggunakan 90 peratus tenaga anggota pembersihan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Mohamad Azri, pihaknya agak bimbang kerana hari ini dijangka mengalami air pasang besar yang boleh menyukarkan lagi operasi pembersihan.
“Kami khuatir kerana ramalan air pasang besar dijangka berlaku di kawasan ini dianggarkan lebih 3.2 meter. Apa yang merisaukan minyak tersebut akan terkena tebing serta batu di rumah persendirian berdekatan dan ia akan menyukarkan operasi pembersihan.
“Pelan kami adalah mulai esok (hari ini) kami akan menggunakan operasi pembersihan secara manual dan membersihkan kawasan paya bakau,” katanya.
Seramai 20 anggota APM terlibat dalam operasi pembersihan tumpahan minyak di Pantai Cermin.
Turut sama dalam operasi pembersihan sisa pencemaran tersebut ialah kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta anggota Rela. – UTUSAN










