Tiga termasuk remaja diberkas curi motor - Utusan Malaysia

Tiga termasuk remaja diberkas curi motor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang remaja antara tiga lelaki diberkas polis selepas baru selesai meleraikan motosikal curi di sebuah bengkel di Kampung Perepat, di sini semalam. 

Semua suspek berusia 13 hingga 31 tahun itu ditahan dalam Op Lejang pada pukul 2.45 petang. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, tiga lelaki itu dikehendaki selepas disyaki terlibat dalam jenayah curi motosikal di hadapan sebuah rumah di daerah ini pukul 8 malam, 17 Jun lalu. 

“Penahanan suspek membawa kepada penemuan dua motosikal dalam keadaan mencurigakan di bengkel tersebut.

“Selain nombor casis dan enjin dipercayai telah diubahsuai, suspek didapati gagal mengemukakan bukti berhubung motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini. 

Menurut beliau, pihaknya turut merampas sebuah motosikal, rangka motosikal dan dua telefon bimbit. 

“Pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berhubung kes dadah. Siasatan awal mendapati bengkel itu dijadikan suspek sebagai lokasi melepak, meleraikan dan membaiki motosikal,” katanya.

“Dua suspek direman empat hari bermula hari ini manakala remaja tersebut diberikan jaminan polis,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya