fbpx

24 September 2020, 4:43 pm

  TERKINI

Sindiket dadah ‘Bobby’ tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket dadah ‘Bobby’ yang baharu sahaja beroperasi tiga bulan lalu dan aktif mengedarkan barangan terlarang tersebut untuk pasaran tempatan di negeri ini, akhirnya tumpas selepas diserbu polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket itu yang didalangi seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Bobby bersama teman wanitanya iaitu warga Vietnam memasarkan pelbagai jenis dadah kepada warga tempatan.

Katanya, polis sebenarnya lebih awal menghidu kegiatan kumpulan tersebut dan berjaya mematahkan sindiket berkenaan menerusi 10 serbuan berasingan sekitar kawasan Seri Alam dan bandar raya ini pada minggu lalu. 

“Sebanyak 24 individu termasuk tujuh wanita warga asing berusia 16 hingga 61 tahun ditahan dalam beberapa operasi yang dijalankan bermula Isnin hingga Jumaat lalu.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu 1.89 kilogram (kg) ketamin, 2.3 kg serbuk ekstasi, 895 gram ganja, dua gram heroin, 2,468 biji pil ekstasi, 859 pil erimin 5 dan dua biji pil yaba dengan nilai keseluruhan dadah RM425,571,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Selain tangkapan sindiket itu, Ayob Khan berkata, polis turut mengenal pasti punca sindiket dadah berkenaan memperolehi bekalan.

Katanya, bekalan dadah didatangkan dari Kuala Lumpur dan mereka menggunakan khidmat seorang wanita warga China untuk mengedarnya di sekitar Taman Century di sini.

“Hasil daripada serbuan awal, polis membuat empat lagi serbuan susulan di sekitar kawasan Pasir Gudang, Permas Jaya dan Iskandar Puteri serta diikuti lima lagi serbuan sekitar kawasan Johor Bahru.

“Dalam serbuan susulan itu, polis menahan 19 suspek lagi dengan hasil saringan ujian air kencing mereka didapati positif dadah jenis methaphetamine dan ketamin. Hasil semakan rekod juga mendapati lapan daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dadah,” katanya.

Selain dadah, kata Ayob, polis turut merampas pelbagai barangan kemas anggaran nilai RM32,956, dua kenderaan dengan anggaran nilai RM214,000 serta wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan RM14,000. 

Tambah beliau, polis turut menyita lima akaun bank tempatan milik tiga individu dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah berjumlah RM30,234. 

“Polis Johor sedang giat menjalankan usaha mengesan saki-baki ahli sindiket berkenaan yang dipercayai masih bebas. Pada tahun ini sahaja, kita sudah menumpaskan lapan sindiket pengedaran dadah di negeri ini sehingga hari ini,” tambahnya. 

Ayob Khan menambah, kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula Isnin untuk disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta akta berkaitan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan. 

Katanya, sejak awal tahun hingga 31 Julai lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri berjaya membuat tangkapan seramai 11,064 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 1.049 kg dadah pelbagai jenis membabitkan jumlah RM22.14 juta. – UTUSAN

POPULAR