PUTRAJAYA: Lebih 650 idea berjaya dikumpulkan menerusi platform ‘Wall of Ideas’ sepanjang tiga hari penganjuran Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2026.
Lebih menarik, kesemua idea itu menerima undian lebih 1.47 juta khususnya daripada pengunjung secara fizikal dan maya.
Inisiatif yang dicetuskan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menjadi antara tarikan utama FOI edisi kali ketiga itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi membuka ruang kepada masyarakat menyumbangkan idea, pandangan dan cadangan kreatif dalam membentuk masa depan Malaysia yang lebih progresif, inklusif dan mampan.
Beliau berkata, pihaknya akan menyenarai pendek 20 idea yang menerima undian tertinggi sebelum dikemukakan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir untuk pertimbangan.
“MQA dengan kerjasama Education Malaysia Global Services menggunakan platform berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengumpul, mengkategorikan dan menyusun kedudukan idea yang dikemukakan pengunjung festival berkenaan.
“Jika cadangan itu boleh dilaksanakan segera, sebagai contoh bidang tertentu yang wajar ditawarkan di peringkat universiti, kita akan mengemukakannya kepada institusi untuk menentukan program yang bersesuaian.
“Ada idea yang mudah dilaksanakan, manakala sebahagian lagi mungkin memerlukan dasar di peringkat nasional atau kementerian.
“Kita akan melihat perkembangannya. Saya berpendapat ini kaedah terbaik kerana orang ramai boleh berkongsi pandangan tanpa rasa malu memandangkan mereka menggunakan telefon sendiri,” katanya kepada ditemui di sini hari ini.
Wall of Ideas pada FOI 2026 merupakan platform terbuka pertama diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membolehkan orang ramai menyumbangkan idea dan cadangan ke arah membentuk Malaysia yang lebih progresif, inklusif dan mampan.
Pengunjung boleh mengemukakan pandangan berdasarkan lima tema utama iaitu Negara dan Tadbir Urus; Ilmu, Inovasi dan Masa Depan; Ekonomi dan Industri; Kelestarian dan Kesejahteraan; serta Keselamatan dan Daya Tahan Negara. – UTUSAN











