Tinggalkan anak di Plaza Tol, warga China ditahan

Tinggalkan anak di Plaza Tol, warga China ditahan

TANGKAP layar video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki mengejar sebuah kereta sebelum berpaut pada pintu belakang kenderaan itu sehingga terjatuh di atas jalan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki warga China ditahan selepas disyaki meninggalkan anak lelakinya berusia 12 tahun di tepi jalan sebelum kanak-kanak itu terjatuh ketika cuba mengejar kenderaan dipandunya dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Nilai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis berhubung rakaman video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berpaut pada pintu belakang sebuah kereta sebelum terjatuh di atas jalan raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil siasatan awal mendapati suspek bersama ahli keluarganya dalam perjalanan dari Cheras, Kuala Lumpur menuju ke Pantai Bagan Lalang, Selangor untuk beriadah kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, berlaku pertengkaran antara mangsa yang juga anak sulung suspek dengan adiknya sehingga menyebabkan suspek berasa marah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, suspek kemudian memberhentikan kenderaannya di tepi jalan selepas melepasi Plaza Tol Nilai sebelum mengarahkan mangsa keluar dan memarahinya berhubung pertengkaran itu.

“Suspek kemudian meninggalkan mangsa di tepi jalan sebelum meneruskan pemanduan dengan alasan mahu memberikan pengajaran supaya anaknya tidak mengulangi perbuatan sama.

“Bagaimanapun, suspek mendakwa melihat mangsa terjatuh di atas jalan raya sebelum mengambil keputusan berpatah balik untuk mendapatkannya semula.

“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah klinik swasta berhampiran Bandar Baru Nilai bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini