Proton catat jualan kedua tertinggi 2026, Oktober cecah 21,624 unit - Utusan Malaysia

Proton catat jualan kedua tertinggi 2026, Oktober cecah 21,624 unit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama automotif nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) terus melakar prestasi memukau apabila merekodkan jualan bulanan kedua tertinggi bagi tahun 2026 selepas sebanyak 21,624 unit kenderaan berjaya diserahkan kepada pembeli pada Oktober lalu.

Pencapaian memberangsangkan itu sekali gus menandakan permulaan suku keempat (Q4) terbaik buat syarikat sejak 2005 dan meletakkan Proton semakin hampir untuk mencapai sasaran jualan tahunan 200,000 unit buat kali pertama sejak 2002.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, prestasi pada bulan Oktober itu didorong oleh peningkatan permintaan berterusan terhadap model enjin pembakaran dalaman (ICE) serta peluasan rangkaian kenderaan elektrik dan elektrifikasi (xEV).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tahun 2026 terbukti menyaksikan Proton mencatat lonjakan ketara dalam jumlah jualan seiring usaha merealisasikan matlamat jangka panjang syarikat.

“Hasilnya, Proton kini menerajui pasaran jualan SUV di Malaysia, selain muncul sebagai jenama pilihan utama bagi jualan sedan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, jualan kukuh pada bulan lalu melonjakkan jumlah jualan terkumpul setakat Oktober (YTD) kepada 182,510 unit, iaitu kenaikan sebanyak 40.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan pegangan pasaran bulanan dianggarkan pada tahap 30.6 peratus.

Bagi barisan model ICE, Proton S70 terus menjadi nadi utama apabila merekodkan jualan kedua tertinggi tahun ini sebanyak 3,029 unit pada Oktober, manakala pemodelan baharu Proton S70 i-GT 1.5 Tahun Model 2027 menyumbang 2,338 unit sekali gus melonjakkannya ke tangga teratas sedan segmen B.

Proton Saga turut mencipta pencapaian penting apabila sebanyak 7,352 unit terjual pada bulan lalu, menjadikan jumlah YTD kepada 75,589 unit dan melepasi keseluruhan jualan model berkenaan bagi tahun 2025.

Selain itu, model SUV Proton X50 mengekalkan dominasi segmen B dengan jualan YTD sebanyak 22,088 unit, manakala Proton X90 mencatatkan pertumbuhan jualan tertinggi iaitu peningkatan sebanyak 75.6 peratus bagi tahun 2026.

Dalam pada itu, penyumbang besar kepada pertumbuhan jualan kumpulan turut didorong oleh prestasi kukuh model-model xEV di bawah jenama Proton e.MAS yang menguasai 33.2 peratus pegangan pasaran xEV tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, selera rakyat Malaysia terhadap kenderaan xEV terus meningkat didorong oleh keyakinan terhadap jenama serta sokongan rangkaian pengedar terluas dalam industri.

“Jumlah jualan terkumpul setakat tahun ini bagi rangkaian Proton e.MAS kini mencecah 35,730 unit, diketuai oleh model Proton e.MAS 5, e.MAS 7 PHEV dan e.MAS 7,” katanya.

Selain pasaran domestik, Proton turut melakar rekod baharu jualan eksport pada Oktober apabila sebanyak 2,610 unit kenderaan dihantar ke luar negara, menjadikan jumlah eksport YTD menghampiri 10,000 unit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini