Langkah segera tangani banjir di Sungai Pelempas dilaksana - Utusan Malaysia

Langkah segera tangani banjir di Sungai Pelempas dilaksana

Misnah Danvori membersihkan barangan rumah yang terjejas akibat banjir yang melanda kawasan kediamannya di Desa Subang Perantau, Selangor semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri melaksanakan langkah segera tangani banjir di Kampung Melayu Subang dengan menaikkan ban Sungai Pelempas sehingga satu meter bagi menghalang limpahan air.

Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, langkah segera itu dikenal pasti di lokasi-lokasi tertentu selepas tebing sungai itu didapati tidak lagi mampu menampung aliran sehingga menyebabkan berlaku limpahan air berulang.

“Kita sudah meneliti keadaan kawasan terjejas dan akan mendapatkan kelulusan kerajaan negeri bagi membolehkan ia dimulakan segera. Di Kampung Melayu Subang, saya sudah tengok dan teliti laporan. Sebenarnya air melimpah di bahagian tebing sungai. Jadi, kita kena naikkan ban.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tempat yang dikenal pasti berlaku limpahan dan mempunyai ban rendah akan dinaikkan antara 0.5 hingga satu meter,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai BUloh dan Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan bagi mengatasi masalah banjir berulang di kawasan berkenaan.

Selain itu, beliau juga mengarahkan pembinaan kolam tadahan bagi mengurangkan risiko banjir kilat sementara menunggu projek jangka panjang itu disiapkan.

Jelas Izham, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh masih di peringkat awal pelaksanaan dan memerlukan tempoh sehingga lima tahun bagi proses reka bentuk, pengambilan tanah dan pembinaan fizikal apabila peruntukan diluluskan pada hujung tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun tindakan penguatkuasaan juga dilakukan di sepanjang sebahagian Sungai Pelempas, Kampung Melayu Subang, berikutan terdapat rumah dibina di atas rizab sungai.

Tambahnya lagi fasa kedua projek berkenaan baru mendapat kelulusan untuk tindakan penguatkuasaan minggu lalu membabitkan jajaran beberapa ratus meter.

“Kemungkinan penduduk terjejas hanya dapat dikenal pasti selepas reka bentuk projek dimuktamadkan, namun kerajaan negeri akan cuba meminimumkan kesan pemindahan.

“Rumah di Kampung Melayu Subang terlalu rapat dengan sungai. Jadi, kita perlu naikkan ban atau bina tembok banjir (flood wall). Jika penguatkuasaan perlu dilakukan, ia terpaksa dibuat demi kepentingan umum,” jelasnya.

Dalam pada itu, Izham berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan melaksanakan langkah sementara termasuk menaikkan ban dan memasang pam air di kawasan berisiko sementara menunggu projek RTB disiapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini