PETALING JAYA: Malaysia meningkatkan kedudukan tujuh anak tangga kepada tangga ke-27 daripada tangga ke-34 dalam Kedudukan Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) Dunia Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2026.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu mencerminkan kemajuan negara dalam transformasi digital dan pembangunan teknologi AI, selain hasil kerjasama kerajaan, industri, ahli akademik serta rakyat.
“Peningkatan kedudukan ini turut menunjukkan keupayaan Malaysia untuk bersaing dalam ekonomi digital dan AI global, selaras dengan aspirasi negara menjadi sebuah Negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030.
“Pencapaian berkenaan juga mengukuhkan keyakinan terhadap hala tuju strategik negara menerusi Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030.
“Keutamaan kita adalah untuk memastikan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang ini diterjemahkan kepada peluang ekonomi lebih luas, perusahaan tempatan lebih berdaya saing serta manfaat nyata kepada seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Digital akan memberi tumpuan kepada empat keutamaan bagi memperkukuh kedudukan negara dalam ekonomi digital dan AI.
Katanya, antaranya, memaksimumkan nilai ekonomi daripada pelaburan infrastruktur digital dan AI dengan membangunkan industri, teknologi serta perniagaan tempatan berasaskan pelaburan berkenaan.
“Langkah itu juga bertujuan memperluas akses syarikat, penyelidik dan pembangun tempatan kepada teknologi AI bagi mempercepat inovasi serta menghasilkan produk dan perkhidmatan buatan Malaysia yang mampu bersaing di pasaran global.
“Selain itu, kerajaan akan mempercepat penerimagunaan teknologi digital dan AI merentasi sektor ekonomi, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ini bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi serta membuka peluang pertumbuhan baharu,” katanya.
Gobind berkata, transformasi digital sektor awam turut dipergiat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih cekap, mudah diakses dan responsif.
“Keutamaan seterusnya ialah memperkukuh pembangunan bakat dan keupayaan inovasi negara menerusi usaha melahirkan lebih ramai jurutera, penyelidik, pembangun serta usahawan AI.
“Pada masa sama, usaha peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja akan diperluas bagi memastikan rakyat mempunyai keupayaan digital yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran pekerjaan serta merebut peluang dalam ekonomi AI,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pengukuhan kepercayaan digital, tadbir urus dan penyelarasan kawal selia bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong inovasi serta meningkatkan keyakinan pelabur.
“Kementerian Digital sedang memajukan penggubalan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI bagi menyediakan kejelasan dan akauntabiliti dalam pembangunan serta penggunaan teknologi berkenaan.
“Selain itu, kerajaan sedang mengusahakan penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia di bawah AI Malaysia bagi memperkukuh keupayaan negara dalam penilaian keselamatan AI, penilaian risiko, penyelidikan dan pembangunan piawaian.
“Penarafan terbaharu IMD ini merupakan pencapaian penting dalam perjalanan digital negara. Namun, usaha dan kerjasama berterusan amat penting bagi mengekalkan momentum sedia ada.
“Kita akan membina kekuatan berasaskan pencapaian ini untuk merealisasikan aspirasi menjadi sebuah Negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN











