PETALING JAYA: HSBC Malaysia membuka Pusat Kekayaan Premier Elite HSBC di Menara Hap Seng 3, menjadikannya pusat kekayaan terbesar milik bank itu di negara ini setakat ini.
Pembukaan pusat kekayaan ketiga di Malaysia dan kedua di ibu negara itu menyusuli pusat kekayaan utama di Tun Razak Exchange (TRX) serta Johor Bahru, sekali gus memperkukuh kedudukan strategik bank berkenaan dalam segmen pengurusan kekayaan.
Kemudahan terbaharu tersebut dibuka serentak dengan perpindahan cawangan HSBC Bukit Bintang yang telah beroperasi dan menjadi sebahagian daripada sejarah Kuala Lumpur sejak 1965 ke Menara Hap Seng 3.
Pusat kekayaan itu disediakan khusus untuk pelanggan HSBC Premier Elite yang mengekalkan jumlah dana perhubungan bersama bank sebanyak RM3 juta dan ke atas.
Majlis pembukaan pusat kekayaan dan perpindahan cawangan HSBC Bukit Bintang itu dirasmikan oleh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pelaburan diluluskan sebanyak RM37.3 bilion merupakan petanda keyakinan yang memberangsangkan terhadap Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, manfaat pertumbuhan perlu dirasai masyarakat dalam kehidupan seharian menerusi ruang awam yang elok, perjalanan lebih mudah, fasiliti terjaga serta peluang yang semakin bertambah.
“Cawangan HSBC di Bukit Bintang telah memenuhi keperluan di Kuala Lumpur sejak 1965 dan pembukaan pusat kekayaan terbesar di Malaysia membuka lembaran baharu dalam perhubungan ini. Kami mengalu-alukan pelaburan berterusan dan peranan HSBC dalam membantu individu, keluarga dan perniagaan untuk merancang masa hadapan,” katanya.
Majlis pembukaan itu turut serta disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Datuk Omar Siddiq dan Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Bank Malaysia, Linda Yip.
Sementara itu, Linda berkata, setiap pusat kekayaan HSBC ditempatkan di lokasi strategik bagi memenuhi keperluan khusus pelanggan, dengan pusat di TRX selari peranannya sebagai hab kewangan antarabangsa manakala Johor Bahru memanfaatkan aliran rentas sempadan berhampiran Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor.
“Hari ini, kami membuka pusat kekayaan ketiga di tengah Segi Tiga Emas Kuala Lumpur bagi mendirikan pintu gerbang antarabangsa untuk kekayaan, menghubungkan pemilik perniagaan, usahawan, pemimpin korporat serta individu dan keluarga bernilai bersih tinggi dengan rangkaian perbankan antarabangsa dan solusi kekayaan menyeluruh,” katanya.
Tambahnya, kekayaan kewangan di Malaysia diunjur mencatat pertumbuhan AS$250 bilion menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun sebanyak lapan peratus sepanjang tempoh tersebut, sekali gus mencerminkan skala peluang dan permintaan terhadap cadangan kekayaan yang lebih rencam.
Pelanggan HSBC Premier Elite turut menikmati akses perbankan antarabangsa termasuk pengiktirafan Premier di seluruh dunia untuk diri dan keluarga, pembukaan akaun HSBC luar negara sebelum berlepas dari Malaysia, pemindahan wang tanpa fi ke lebih 50 negara dan wilayah melalui Global Money Transfers serta akses kepada 11 mata wang utama menerusi Akaun Global HSBC Premier Everyday.
Selain itu, ciri FX on Mobile yang ditambah baik membolehkan pelanggan memantau mata wang pilihan menerusi FX Watchlist, menjejak pergerakan kadar tukaran menerusi FX Charts serta menetapkan kadar sasaran dan notifikasi melalui FX Alerts.
Kajian terbaharu HSBC mendapati individu bernilai bersih tinggi di Malaysia mendanai purata tiga fasa kehidupan serentak seperti pembaharuan kerjaya atau perniagaan, pembelian kediaman atau pengurusan harta pusaka, perancangan persaraan serta sokongan kepada generasi seterusnya.
Pusat kekayaan baharu yang dilengkapi 10 bilik termasuk empat bilik gaya hidup, lima bilik peribadi dan sebuah bilik keluarga itu turut merancang pengalaman gaya hidup terpilih seperti sesi hidangan intim dan previu tertutup bersama rakan jenama mewah, selain mempamerkan instalasi seni The Golden Tree hasil karya Red Hong Yi yang menggabungkan 28,888 keping syiling 20 sen dan 50 sen berona merah. –UTUSAN











