PETALING JAYA: Lebih 100 pemain golf menyertai program amal Pink Swing Charity Golf 2026 di Templer Park Country Club, Rawang sebagai tanda sokongan terhadap usaha meningkatkan kesedaran dan kepentingan pengesanan awal kanser payudara.
Pertandingan sulung itu menghimpunkan kapten industri, pemimpin korporat, golongan profesional dan komuniti golf bagi mengeratkan hubungan selain menyumbang kepada masyarakat sempena ulang tahun ke-40 Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).
Pertandingan itu turut menyediakan platform kepada jenama dan syarikat untuk menyokong usaha kebajikan yang bermakna, selain berinteraksi dengan kelompok pemain golf berpengaruh.
Menggunakan format `Stableford System 36′, pertandingan berkenaan menyaksikan persaingan sengit dalam suasana penuh semangat kesukanan dan kemesraan antara peserta.
Mohamad Al Hakim Al Balkhis muncul juara keseluruhan kategori Medal A lelaki menerusi kiraan semula (OCB) selepas mengumpul 39 mata manakala Krystle Lim mengungguli kategori wanita dengan 38 mata.
Bagi kategori Medal B lelaki, Azizul Azri Abdul Aziz muncul juara dengan mengumpul 37 mata menerusi OCB manakala Catherine Yong menjuarai kategori wanita dengan himpunan 33 mata.
Melepasi sasaran awal, pertandingan berkenaan berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM150,000 bagi membantu membiayai misi BCWA dalam menyediakan bantuan, pendidikan dan advokasi kepada individu serta keluarga yang terkesan akibat kanser payudara.
Azizul (kiri), Mohamad Al Hakim (dua kiri), Krystle Lim (dua kanan) dan Catherine Yong meraikan kejayaan memenangi kategori masing-masing pada Pink Swing Charity Golf 2026 di Templer Park Country Club Rawang.
Azizul (kiri), Mohamad Al Hakim (dua kiri), Krystle Lim (dua kanan) dan Catherine Yong meraikan kejayaan memenangi kategori masing-masing pada Pink Swing Charity Golf 2026 di Templer Park Country Club Rawang. – Foto ihsan Templer Park Country Club.
Dana itu turut menyokong usaha jangkauan komuniti BCWA di seluruh negara bagi mendidik masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara.
Pengurus Besar BCWA, Sumitra Selvaraj, berkata pihaknya amat menghargai sokongan dan kemurahan hati semua penyumbang yang menjayakan kejohanan berkenaan.
“Bagi pihak BCWA, saya ingin merakamkan penghargaan kepada setiap penyumbang yang bersama-sama menyokong kejohanan ini. Kemurahan hati anda membawa makna lebih besar daripada jumlah dana yang berjaya dikumpulkan.
“Sumbangan ini membolehkan lebih ramai wanita dan keluarga menerima bantuan, lebih banyak komuniti memahami kepentingan pengesanan awal dalam menyelamatkan nyawa, selain memberi kesedaran bahawa mereka tidak berdepan cabaran ini bersendirian,” katanya.
Sumitra turut merakamkan penghargaan kepada Templer Park Country Club selaku penaja utama serta semua penaja yang menyumbangkan masa, sumber dan tenaga bagi menjayakan usaha berkenaan.
“Kanser payudara adalah isu yang dekat dengan kita semua. Hanya melalui kerjasama dan perkongsian seperti ini, kita dapat terus membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Templer Park Country Club turut menyediakan lokasi eksklusif serta sokongan kepada inisiatif berkenaan sebagai penaja utama, sekali gus memperkukuh komitmennya terhadap penglibatan komuniti dan usaha sosial yang memberi manfaat melangkaui sukan golf.
Kelab itu turut berjanji menyumbangkan RM1 bagi setiap pusingan golf yang dimainkan sepanjang Oktober kepada BCWA, manakala Pengarah Urusannya, Datuk Manibalan Kutty, bersetuju memadankan jumlah sumbangan yang dikumpulkan menerusi kempen berkenaan.
Usaha itu menyaksikan jumlah sumbangan sebanyak RM10,000 berjaya disalurkan kepada BCWA.
Manibalan berkata, pihaknya percaya sumbangan kepada masyarakat tidak seharusnya terhad kepada aktiviti sukan, sebaliknya perlu merangkumi usaha menghimpunkan masyarakat bagi menyokong perkara yang memberi impak positif.
“Nilai sebenar Pink Swing Charity Golf bukan sekadar pada jumlah dana yang dikumpulkan, tetapi turut terletak pada semangat kebersamaan dalam menyumbang, meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara, menggalakkan pengesanan awal serta mengingatkan mereka yang terkesan bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi perjalanan ini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada ahli kelab dan tetamu yang menunjukkan kemurahan hati, semangat serta sokongan sehingga inisiatif kutipan dana Pinktober berjaya mengumpulkan RM10,000 untuk BCWA,” katanya. – UTUSAN











