Bersama terus bertanding demi beri pilihan kepada rakyat

Bersama terus bertanding demi beri pilihan kepada rakyat

RAFIZI Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan keputusan untuk terus bertanding dalam pilihan raya penting bagi memastikan rakyat mempunyai pilihan dan tidak menganggap mana-mana parti sebagai pemilik tetap undi.

Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama) berkata, terdapat pihak yang mempersoalkan tindakan bertanding menentang UMNO dengan alasan ia hanya membuang masa dan mustahil untuk menang.

“Kenapa hendak sibuk-sibuk bertanding lawan UMNO? ‘Buang masa saja. Mustahil hendak menang.’ 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tapi kalau setiap pencabar disuruh mengalah sebelum bertanding, bila pula rakyat boleh ada pilihan?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, manusia yang terlalu lama berkuasa boleh menjadi terlalu selesa dan semakin cenderung melihat diri sebagai wakil parti berbanding wakil rakyat.

Katanya, keadaan itu boleh berlaku kepada mana-mana parti sekiranya tiada pihak yang menegur dan mencabar.

“Sebab itu parti-parti politik perlu bersaing. Kena jawab soalan rakyat, pertahankan rekod kerja dan bentangkan tawaran yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, persaingan politik menjadikan isu seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan masalah setempat lebih sukar diketepikan kerana pihak yang berkuasa perlu bekerja untuk mengekalkan kepercayaan rakyat.

“Bersaing tak bermakna mesti bermusuhan. Kita boleh berbeza pendirian dan mencabar dasar sambil menghormati satu sama lain. Rakyat pula berhak mendengar, menilai dan memilih,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, perlu ada suara yang berani menegur sesiapa sahaja yang berkuasa tanpa terikat untuk mempertahankan mana-mana parti dalam semua keadaan.

Tambahnya, Bersama juga mesti terbuka untuk ditegur dan dipersoalkan kerana kepercayaan rakyat perlu dibina dan bukan dianggap sebagai hak sesiapa.

“Sebab itu Bersama terus masuk bertanding dan berusaha. Jadi parti kecil atau pilihan ketiga pun tak apa, asalkan rakyat ada pilihan dan suara mereka terus dibawa.

“Bila tiada persaingan, yang berkuasa lebih mudah mengambil mudah suara rakyat. Bila ada persaingan, mereka perlu mendengar kerana rakyat ada pilihan. 

“Undi rakyat mesti diusahakan. Tidak boleh dianggap milik tetap mana-mana parti,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini