KOTA BHARU: Tindakan seorang warga asing yang bertindak agresif sebelum melarikan diri ketika dihampiri anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membawa padah apabila dia dirempuh sebuah kereta di Jalan Limbat-Pasir Tumbuh, di sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku semasa anggota JPJ menjalankan Ops Khas Pemandu Warga Asing (PEWA) secara penyamaran sebelum mengesan individu berkenaan sedang menunggang motosikal.
JPJ Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika anggota bertugas menghampiri dan memperkenalkan diri untuk tujuan pemeriksaan, individu terbabit bertindak agresif sebelum melarikan diri.
Katanya, semasa melarikan diri itu dengan menyeberangi jalan individu berkenaan dirempuh sebuah kereta yang sedang melalui laluan berkenaan sehingga mengalami kecederaan.
“Anggota yang berada di lokasi segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan perubatan. Hasil pemeriksaan mendapati individu berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal yang digunakan telah tamat tempoh.
“Susulan itu, satu laporan polis dibuat bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu tular satu rakaman video memaparkan seorang warga asing cedera dirempuh sebuah kereta semasa cuba melarikan diri semasa pemeriksaan yang dijalankan oleh JPJ
Mengulas lanjut, JPJ Kelantan meminta orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan atau menyebarkan dakwaan tidak berasas berdasarkan rakaman video kejadian yang tular di media sosial.
Katanya, penilaian perlu mengambil kira keseluruhan kronologi dan maklumat sebenar bagi mengelakkan salah faham serta persepsi tidak tepat.
JPJ Kelantan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya meminjamkan atau membenarkan warga asing menggunakan kenderaan tanpa memastikan mereka memiliki lesen memandu yang sah.
Katanya, pemilik kenderaan perlu bertanggungjawab kerana tindakan itu boleh mengundang implikasi undang-undang selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya.-UTUSAN











