Warga emas hilang selepas kereta terbabas masuk sungai

Warga emas hilang selepas kereta terbabas masuk sungai

PROTON Wira dipandu Mat Yusof Hashim yang tenggelam dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah di Sungai Petani. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 77 tahun dikhuatiri hilang selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Mat Yusof Hashim, dipercayai memandu Proton Wira dari arah Jalan Kuala Ketil menghala ke Felda Teloi Timur.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam sungai.

“Pada awalnya, mangsa dipercayai berada di dalam kenderaan yang tenggelam, namun selepas kenderaan berjaya dinaikkan ke darat menggunakan kren, pemeriksaan mendapati mangsa tiada di dalam kenderaan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan pihak bomba di kawasan sekitar sungai.

Beliau berkata, kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, bonet, pintu kiri dan kanan serta cermin hadapan dan belakang.

“Operasi mencari mangsa masih diteruskan, manakala kenderaan terbabit dibawa ke Balai Trafik Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN