Polis kesan nelayan jumpa pemancing terselamat bersama mayat

Polis kesan nelayan jumpa pemancing terselamat bersama mayat

Nelayan pemancing
SHAZELI KAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Nelayan yang didakwa meninggalkan mayat terapung ketika menemukan empat pemancing terselamat dalam tragedi bot karam pada 13 September lalu di Permatang Sedepa, akan disiasat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan bagi mendapat pengesahan sama ada mayat tersebut adalah salah seorang daripada pemancing hilang dalam tragedi tersebut.

Katanya, bagaimanapun polis juga sedang dalam usaha mendapatkan keterangan daripada keempat-empat mangsa terselamat serta ahli keluarga dan individu lain yang mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan.

“Berdasarkan keterangan sehingga semalam, kita yakin mayat yang ditemui itu adalah individu berlainan, bukannya dalam kumpulan yang sama sebab pengecaman tidak dapat dijalankan terhadapnya (ketika itu).

“Sehingga semalam kita sudah ambil rakaman keterangan mangsa-mangsa yang selamat, namun masih ada lagi yang belum dirakam individu (mangsa) berkaitan kerana tahap kesihatan mereka tidak mengizinkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Minggu lalu tular rakaman video yang memaparkan bot nelayan menjumpai sekumpulan individu terapung dipercayai mangsa tragedi bot karam di One Fathom Bank (Permatang Sedepa).

Menerusi rakaman tersebut, terdapat lima individu yang ditemukan dalam keadaan terapung bersama jaket keselamatan dan tong minyak, bagaimanapun seorang daripada mereka didapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terlungkup pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Berdasarkan dakwaan mangsa lain yang terselamat, mayat tersebut dipercayai Allahyarham Mohd. Shahril Abd. Rahman yang ditemukan pada hari ketiga operasi SAR di perairan berhampiran Bagan Sungai Belukang, Perak.

Ahad lalu, tujuh pemancing dilaporkan tidak pulang selepas keluar memancing dari Jeti Sementa, Kapar menuju ke perairan berhampiran rumah api One Fathom Bank dan Pulau Ketam, Klang sebelum operasi SAR dilancarkan pada 14 September.

Bagaimanapun, sehingga operasi ditamatkan pada Sabtu lalu, hanya seorang mangsa yang masih belum ditemui iaitu Raja Mohd. Rozi Raja Mohamad, 49, yang dikenali sebagai Tok Penghulu dilaporkan hilang hingga ke hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×