Keluarga kesal jenazah pemancing belum dapat dikebumikan lagi

Keluarga kesal jenazah pemancing belum dapat dikebumikan lagi

Pemancing
AHLI keluarga Allahyarham Mohamad Shahril Abd. Rahman menunggu keputusan ujian DNA bagi membolehkan jenazah dituntut di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam di Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Keluarga kepada Allahyarham Mohamad Shahril Abd. Rahman iaitu seorang pemancing mangsa tragedi bot karam pada Ahad lalu menggesa proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) disegerakan supaya proses pengurusan jenazah dapat dilakukan.

Adik ipar kepada mangsa, Shahdan Samsuri berkata, proses pengecaman melalui ujian itu didakwa boleh berlarutan sehingga Isnin depan dan ahli keluarga menyifatkan tempoh tersebut terlalu lama.

Katanya, sedangkan pengecaman dan proses bedah siasat sudah dilakukan semalam dan mangsa pula sudah meninggal dunia serta terlalu lama berada di laut sebelum ditemukan.

“Sehingga hari ini, setakat pukul 12 tengah hari tadi, masih tiada sebarang keputusan DNA daripada pihak hospital. Jadi, makluman daripada pegawai penyiasat, ia mungkin diperolehi seawal petang ini atau Isnin.

“Jadi, sampai hari ini, untuk proses tuntutan jenazah bagi urusan pengebumian belum dapat dilakukan. Pihak keluarga masih belum terima jawapan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah Mohamad Shahril dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) selepas dia ditemui dalam keadaan terapung oleh nelayan di perairan berhampiran Bagan Sungai Belukang, Perak pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Mayat lelaki itu merupakan salah seorang daripada tujuh pemancing yang hilang selepas bot dinaiki mereka bocor dan karam akibat dibadai ombak besar.

Shahdan menjelaskan, mangsa yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu melalui proses pengecaman kira-kira pukul 10.30 pagi semalam sebelum proses bedah siasat dimulakan pada pukul 10.45 pagi dan selesai lebih dua jam kemudian.

“Kemudian, sampel diambil dihantar dan diterima oleh Jabatan Kimia pada pukul 3 petang. Sampel-sampel diambil itu kebanyakannya tercemar kerana (jenazah) terlalu lama berendam dalam air laut.

“Jadi, sampel yang masih kukuh iaitu gigi, malangnya tak dapat dikenal pasti kerana daripada mangsa tiada rekod perubatan gigi. Di situ sudah ada kelewatan untuk pihak hospital percepatkan proses DNA,” ujarnya.

Tambahnya, ahli keluarga turut menzahirkan kekesalan akibat kelewatan jenazah Mohamad Shahril diambil susulan video penemuan lima mangsa termasuk empat yang selamat itu tular.

“Ahli keluarga mempersoalkan adakah polis sudah mengambil keterangan daripada mangsa yang selamat kerana berdasarkan video tersebut terdapat seorang mangsa dipercayai abang ipar saya tidak diambil sekali ketika mereka ditemukan nelayan.

“Ahli keluarga tidak puas hati, khabar angin pada awalnya yang mengatakan mereka jumpa berlima, berdasarkan video yang tersebar itu maknanya betullah jumpa berlima,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×