Mayat dua pemancing lalui ujian DNA sahkan identiti

Jenazah dua pemancing lalui ujian DNA sahkan identiti

Ujian DNA pemancing
AHLI keluarga Allahyarham Muhammad Ridzuan Ruhaizat menunggu keputusan DNA bagi membolehkan jenazah dituntut di Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ujian asid deoksiribonukleik jenazah (DNA) Allahyarham Mohamad Shahril Abd. Rahman, 43, dan Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, yang merupakan pemancing dilapor hilang dalam tragedi bot karam pada Ahad lalu dibuat bagi mengesahkan identiti mereka.

Proses tersebut bagi memastikan identiti mereka itu dapat dipastikan apabila mangsa terakhir masih belum ditemui ketika ahli keluarga kedua-dua pemancing berkenaan mahu menyegerakan urusan pengebumian.

Adik ipar kepada mangsa, Muhammad Ridzuan, Shamsudin Samsuri, berkata, sampel patologi pada badan allahyarham diambil sebagai pilihan terakhir selepas pengecaman melalui gigi tidak dapat dilakukan.

“Pihak hospital memaklumkan sampel yang diambil dihantar ke Jabatan Kimia pada hari sama proses bedah siasat selesai dilakukan. (Namun) Sampel yang diambil itu kebanyakannya tercemar kerana (jenazah) terlalu lama berada di laut.

“Jadi, sampel yang masih kukuh iaitu gigi, malangnya tak dapat dikenal pasti kerana mangsa tidak mempunyai sebarang rekod perubatan pergigian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, bapa saudara kepada Muhammad Ridzuan, Khairul Muhidin memberitahu proses sama juga perlu dilalui sebelum jenazahnya boleh dituntut dan urusan pengebumian dilakukan.

“Proses tersebut terpaksa dilakukan apabila seorang lagi mangsa iaitu Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, masih belum ditemui dan dibimbangi berlaku pertikaian identiti sekiranya pengebumian dibuat sebelum keputusan DNA diperolehi.

“Bagaimanapun, keputusan DNA itu akan diperolehinya seawal esok di Hospital Sungai Buloh. Jenazah akan dituntut esok sekiranya semua proses berkenaan selesai,” ujarnya.

Jenazah Mohamad Shahril dan Muhammad Ridzuan masing-masing dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 31 dan Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Barat.

Mayat kedua-dua pemancing itu sebelum ini ditemukan dekat perairan Bagan Datuk, Perak oleh nelayan selepas lebih 36 jam terapung susulan bot dinaiki mereka ketika keluar memancing bersama lima yang lain di Permatang Sedepa (One Fathom Bank).

Sehingga kini hanya empat dilaporkan selamat iaitu Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, dan Zulfilkalnain Awang, 47, yang merupakan seorang tekong.

Seorang lagi mangsa iaitu Raja Mohd. Rozi masih dicari dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima hari ini dan pencariannya tertumpu di perairan Perak selepas dua mayat ditemukan di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×