KUALA LUMPUR: Kerajaan memahami kedudukan kewangan negara ketika ini meskipun pertambahan peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Belanjawan 2027 adalah kecil.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menghargai peruntukan RM12.68 bilion yang diberikan kepada kementeriannya serta komitmen kerajaan untuk meneruskan pembangunan luar bandar.
“Walaupun hanya terdapat sedikit pertambahan peruntukan, saya fikir kita memahami kedudukan kewangan negara dan menghargai tumpuan yang diberikan kepada kementerian kami,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keutamaan KKDW adalah memastikan setiap peruntukan digunakan secara berkesan bagi melaksanakan program yang memberi impak besar kepada kumpulan sasar.
Katanya, peruntukan berkenaan akan menyokong kesinambungan program sedia ada serta pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi, khususnya yang melibatkan masyarakat Orang Asli.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur luar bandar turut menjadi keutamaan, termasuk usaha menambah baik jaringan perhubungan bagi meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kawasan berkenaan.
“Perkara penting ialah program sedia ada dan program berimpak tinggi turut diberikan perhatian dalam belanjawan ini, khususnya bagi masyarakat Orang Asli,” katanya.
Selain pembangunan luar bandar, Zahid berkata, KKDW turut memberi perhatian kepada pengukuhan industri halal dan pembangunan keusahawanan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menambah bilangan usahawan dijangka menyokong matlamat kerajaan untuk memperluas pasaran eksport negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha menangani tekanan kewangan yang dihadapi golongan berpendapatan sederhana, khususnya kumpulan M40, turut perlu diberikan perhatian berikutan kekangan pendapatan boleh guna dan kuasa beli akibat komitmen kewangan yang tinggi.
Zahid berkata, KKDW akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan program yang menghasilkan manfaat nyata dan boleh diukur, selaras dengan keperluan pembangunan serta kemampuan kewangan negara. – UTUSAN











