KUALA LUMPUR: Perdana Menteri bersetuju urusan penentuan kelayakan dan pengeluaran kad kepada pelarian di Malaysia perlu dikendalikan oleh badan berkuasa kerajaan negara ini sendiri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu penglibatan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merupakan isu legasi berikutan agensi itu dibawa masuk secara rasmi oleh kerajaan terdahulu.
Beliau berkata, sebarang usaha untuk meminda peraturan berkaitan pengeluaran kad berkenaan memerlukan masa serta proses rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“UNHCR itu dibawa secara rasmi oleh kerajaan pada ketika itu. Jadi untuk meminda peraturan, seperti yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri baru-baru ini, tentu mengambil masa dan juga memerlukan proses rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya jangan nampak kita mengenepikan peraturan antarabangsa.
“Tapi saya setuju dengan Larut sebenarnya tindakan, keputusan harus tegas diambil kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai-pegawai dari luar dan mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai cadangan supaya UNHCR tidak lagi mengeluarkan kad pelarian, sebaliknya urusan berkenaan dikendalikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Kerajaan Malaysia.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan haram yang dikendalikan oleh pelarian Rohingya, Anwar berkata, tindakan merampas pemegang lesen akan dilaksanakan sekiranya terbukti ia diberikan kepada warga asing.
“Di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kita beri amaran, kalau berlaku kes pemegang lesen menyerahkan lesen perniagaan kepada warga asing, lesen itu akan dirampas.
“Sementara mereka belum dibawa pulang ke negara asal, penguatkuasaan perlu lebih tegas. Kita lihat hampir setiap hari tindakan menangkap atau rampasan dilakukan kerana aktiviti perniagaan tanpa lesen dan kebenaran,” katanya. – UTUSAN











