Red alarm: Jangan tunggu sehingga seorang lagi jadi mangsa

Red alarm: Jangan tunggu sehingga seorang lagi anak menjadi mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kejadian tragis melibatkan keganasan dan kehilangan nyawa dalam persekitaran sekolah kebelakangan ini perlu menjadi “red alarm” kepada kita .

Memuatkan artikel berkaitan…

Kita tidak boleh melihatnya sebagai isu disiplin sekolah semata-mata. Ia menuntut kita menilai secara lebih kritikal ekosistem psikologi yang membentuk pemikiran, emosi dan tingkah laku anak-anak kita iaitu bermula dari rumah, sekolah, rakan sebaya, persekitaran digital sehingga masyarakat.

Data telah memberikan amaran. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 atau Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 menunjukkan masalah kesihatan mental kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun meningkat daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023 iaitu lebih dua kali ganda, iaitu kira-kira seorang daripada enam kanak-kanak

Pada masa yang sama, data Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) baru-baru ini menunjukkan 55,169 penjawat awam yang menjalani saringan dikategorikan berisiko tinggi.

Walaupun kedua-dua data melibatkan populasi berbeza, mesejnya jelas iaitu kesejahteraan psikologi perlu menjadi agenda serius merentas generasi. Kita perlu bertanya lebih jauh untuk memahami isu ini.

Apakah yang sedang berlaku dalam keluarga dan masyarakat kita? Adakah ibu bapa mempunyai masa berkualiti untuk mendengar anak? Adakah gaya didikan terlalu menghukum, terlalu permisif atau kurang sempadan? Adakah anak-anak belajar mengurus kemarahan, kekecewaan, penolakan dan konflik?

Siapakah yang memantau dunia digital mereka? PSIMA menyeru tindakan segera melalui pendekatan “whole-of-society”. Ibu bapa perlu diperkasakan dengan ilmu keibubapaan dan literasi psikologi; sekolah mesti mempunyai sistem pengesanan awal dan rujukan profesional; komuniti perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku; dan akses kepada ahli psikologi serta intervensi awal perlu diperluaskan.

Malaysia memerlukan Infrastruktur Psikologi Nasional yang menghubungkan keluarga ke sekolah ke komuniti ke perkhidmatan psikologi dan kesihatan, dengan mekanisme pengesanan, penilaian, intervensi, rujukan dan pemantauan yang jelas. Jangan hanya bertindak selepas tragedi berlaku.

Statistik telah memberi amaran dan kejadian yang menyayat hati memperlihatkan betapa mahalnya harga apabila tanda risiko tidak ditangani lebih awal. Ini bukan lagi masa untuk sekadar prihatin tetapi ini adalah masa untuk bertindak. –UTUSAN

 

Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali
Presiden, Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA)
Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, UKM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN