PETALING JAYA: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) baharu bakal dilaksanakan merangkumi RTB Bandaraya Kuching di Sarawak, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 di Kelantan, serta PLSB Sungai Kemaman di Terengganu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini kerajaan berjaya menyiapkan enam projek RTB bernilai RM336 juta setakat ini, manakala 82 lagi projek RTB di seluruh negara sedang dilaksanakan mengikut jadual.
“Pada masa sama, kerajaan turut memperuntukkan hampir RM320 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf struktur cerun, parit serta longkang di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bagi melancarkan sistem perparitan awam.
“Langkah berkenaan merupakan ikhtiar berterusan kerajaan bagi mengurangkan risiko bencana banjir serta melindungi keselamatan dan harta benda rakyat di kawasan berisiko tinggi,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini hari ini. –UTUSAN











