KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu memberi perhatian kepada usaha memperjelaskan situasi sebenar berhubung polemik kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebelum sesi penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan itu penting bagi mengatasi sebarang salah faham yang dilemparkan terhadap BN ekoran proklamasi menurunkan Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir.
Beliau yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata, tempoh tiga minggu sebelum penamaan calon juga perlu digunakan untuk menyelesaikan segala isu berbangkit sebelum bermulanya PRN.
“Kena terangkan, beri tahu rakyat mengenai pihak yang mahu membuat pemecatan Tuanku Mukhriz ini sebenarnya bukan UMNO. Kena terangkan baik-baik.
“(BN) kena terangkan kenapa buat proklamasi (menurunkan Tuanku Mukhriz) dan perbezaan antara proklamasi serta pemecatan supaya orang ramai faham mengenai prosedur berkenaan. Banyak salah faham akan timbul dan menyebabkan pelbagai masalah bakal timbul, jika orang ramai tak faham (prosedur berkenaan),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bayu Seafood by White N Black di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada polemik takhta Negeri Sembilan akan memberi kesan kepada BN sepanjang kempen PRN Melaka yang dijadualkan bermula 31 Oktober ini.
Pada 17 September lalu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selepas diputuskan sebulat suara ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), dua hari sebelumnya.
Susulan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan diminta melaksanakan pewartaan proses proklamasi terbabit mengikut peraturan sedia ada.
Proklamasi berkenaan dibuat mengikut Perkara 11 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang bertarikh 19 April 2026 yang sudah ditandatangani dan dicop mohor Undang Luak sah serta berkuat kuasa.
Kenyataan itu menyebut proklamasi berkenaan teratur dan sempurna mengikut UUTKNS 1959.
Johari berkata, senarai calon BN untuk PRN Melaka akan dimuktamadkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan dibantu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
“Ab. Rauf lebih arif mengenai calon bersesuaian untuk ditampilkan pada PRN Melaka dan beliau akan berhubung secara terus dengan Ahmad Zahid,” katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.
Dalam pada itu, Johari berkata, penglibatan anak muda dalam perniagaan yang mengetengahkan kepelbagaian konsep perlu dilihat sebagai pencetus motivasi kepada usahawan lain dalam meningkatkan aktiviti ekonomi setempat terutama berkaitan peluang pekerjaan.
Beliau memberikan contoh pemilik Bayu Seafood yang mengetengahkan kepelbagaian konsep sebagai peluang untuk lebih maju dalam perniagaan pada masa akan datang.
“Ini pembukaan keempat restoran pemiliknya yang merupakan orang muda. Mereka memahami konsep kepelbagaian sebagai peluang. Saya sendiri pernah pegang 440 cawangan KFC sebelum ini,” katanya. – UTUSAN











