KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak membenarkan pengeksportan kayu balak, sebaliknya hanya digunakan bagi tujuan pemprosesan serta kegunaan dalam pasaran domestik.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketetapan itu dibuat bagi menstabilkan penawaran bahan mentah berkenaan selain mengurangkan risiko pembasmian hutan.
Katanya, kerajaan bagaimanapun membenarkan pengeksportan produk perabot berasaskan kayu termasuk balak.
“Dalam industri perkayuan, kita (Malaysia) adalah antara pengeksport perabot berasaskan kayu ke negara luar membabitkan nilai eksport sebanyak RM22.3 bilion setakat 2024.
“Sebab itu kita tanam balik semula ladang (balak) membabitkan keluasan 147,000 hektar.
“Tujuan kerajaan membiayai sebahagian daripada pinjaman (penanaman semula balak) ini kerana tidak membenarkan kayu dieksport secara balak, tetapi perlu digunakan untuk pemprosesan dan kegunaan dalam negara,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai cadangan mengehadkan eksport kayu balak bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pasaran domestik.
Johari yang memangku tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, kerajaan turut membenarkan pengimportan kayu balak bagi tujuan pemprosesan perabot atau bahan berkaitan pembinaan, namun ia perlu diperoleh daripada negara yang mengamalkan konsep perladangan lestari.
Katanya, faktor kelestarian itu penting kerana kegagalan mematuhi syarat tersebut boleh menjejaskan penerimaan produk perabot Malaysia di pasaran antarabangsa.
“Jika ambil dari negara yang ladang tidak lestari, mereka potong dan buat pembasmian hutan kemudian jual balak, perabot kita mungkin tidak diterima dalam kategori lestari.
“Soal sama ada kita benarkan atau tidak (import kayu balak), ya tetapi mesti dari negara sumber yang eksport kepada kita untuk diproses menjadi perabot atau bahan berkaitan pembinaan dan datang daripada sumber lestari.
“Namun, untuk kayu balak kita, kita tidak benarkan ia dieksport sebagai balak,” katanya.-UTUSAN










