KUALA LUMPUR: Fokus perlu diberikan bagi penanaman semula pokok kelapa sawit untuk memastikan pengeluaran dan eksport komoditi itu tidak terjejas pada masa hadapan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sekiranya langkah penanaman semula tidak dilaksanakan mengikut jangka hayat pokok, industri sawit berisiko mengalami penurunan hasil yang ketara, sekali gus menjejaskan sumbangannya kepada ekonomi negara.
“Penanaman semula penting supaya produktiviti dapat dikekalkan. Kalau pokok sawit dibiarkan tua tanpa ditanam semula, hasilnya akan merosot,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai kajian semasa yang menunjukkan impak langsung kelewatan penanaman semula kelapa sawit di negara ini..
Johari turut menjelaskan, syarikat-syarikat besar seperti Sime Darby, United Plantation dan Kuala Lumpur Kepong (KLK) lebih mudah melaksanakan proses ini kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan mengurus ladang secara komersial.
“Salah satu kelebihan mereka adalah sentiasa mempunyai dana untuk menanam semula pokok yang sudah tua tetapi kalau penanaman semula tidak dibuat mengikut jadual, hasil akan menurun,” tambahnya.
Katanya lagi, pokok kelapa sawit yang berada pada tahap matang mampu menghasilkan sehingga 28 tan hasil, bergantung kepada teknik penanaman.
Namun begitu, katanya, jika pokok dibiarkan melebihi usia 25 hingga 27 tahun tanpa ditanam semula, hasilnya hanya sekitar empat hingga lima tan sahaja.-UTUSAN










