KUALA LUMPUR: Tindakan menyalahguna parkir awam oleh segelintir pihak termasuk dengan meletakkan kenderaan lama dan barangan perniagaan menjadi punca kepada isu kesesakan di sekitar Pasar Pudu di sini.
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Kebajikan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Ong Siang Liang berkata, jumlah petak parkir yang berkurangan sekali gus menyukarkan pelanggan dan peniaga mendapatkan ruang untuk meletakkan kenderaan mereka.
“Keadaan menjadi lebih serius apabila terdapat kenderaan yang diletakkan secara berganda sehingga menghalang laluan dan menyebabkan kenderaan lain terpaksa menunggu atau beratur panjang.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya mengenal pasti lokasi yang kerap berlaku masalah double parking dan meningkatkan penguatkuasaan pada waktu puncak, bukannya menjalankan rondaan secara rawak sepanjang hari,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar berhubung aduan penduduk dan peniaga di Pasar Pudu terhadap DBKL hari ini.
Sementara itu menurutnya, kenderaan terbiar yang memenuhi petak parkir awam sekitar Pasar Pudu dicadang dialihkan dan dilupuskan menerusi proses lelong bagi mengatasi kekurangan ruang parkir.
Katanya, kenderaan terbabit perlu dikenal pasti oleh pihak penguat kuasa sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Menurutnya, kenderaan yang ditinggalkan atau tidak lagi sesuai digunakan tidak sepatutnya terus memenuhi petak parkir awam sehingga menutup ruang parkir kepada pengguna lain.
“Kerajaan Persekutuan juga dicadang menggubal undang-undang lebih menyeluruh bagi menangani masalah kenderaan terbiar termasuk melalui proses pelupusan atau jualan lelong awam.
“Andai kata, tiada pemilik kereta yang mahu menuntut kereta mereka dalam masa ditetapkan, pihak berkuasa perlu lelong kereta mereka agar masalah parkir ini tidak lagi membelenggu peniaga dan penduduk sekitar,” katanya.
Siang Liang dalam pada itu mencadangkan sistem parkir jangka pendek antara 30 hingga 60 minit di kawasan komersial yang sibuk bagi memudahkan pelanggan yang hanya memerlukan ruang untuk urusan singkat.
Katanya, tempoh maksimum parkir boleh ditetapkan selama dua jam dengan penguatkuasaan lebih tegas terhadap kenderaan yang melebihi tempoh ditetapkan.
“Peniaga dan penduduk tempatan wajar diberi diskaun separuh harga bagi pas bulanan yang kini berharga RM300 berikutan keadaan ekonomi dan kesan projek pembesaran jambatan terhadap perniagaan.
“Kadar berkenaan menjadi beban tambahan kepada peniaga tempatan manakala orang awam boleh terus membayar mengikut kadar sedia ada,” katanya. – UTUSAN









