KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan mendengar penjelasan daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan masa depan Perikatan Nasional (PN).
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya akan terus memperkukuh PN, meskipun dua parti komponen itu telah menamatkan kerjasama.
“Kami menghormati peranan serta sumbangan Pas dan Bersatu dalam PN. Pada peringkat ini, Gerakan akan menunggu penjelasan rasmi lanjut daripada pihak-pihak berkaitan sebelum mengulas lebih lanjut mengenai perkembangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dominic berkata, mengambil kira Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang semakin hampir dan landskap politik negara yang terus berkembang menjelang pilihan raya umum (PRU), PN perlu memberi tumpuan kepada agenda lebih besar.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan gabungan itu terus kukuh dan bersedia menghadapi cabaran politik mendatang.
“Ini adalah masa untuk semua parti dalam PN kekal fokus terhadap tugas yang lebih besar di hadapan kita,” katanya.
Beliau berkata, Gerakan akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam memperkukuh PN sebagai sebuah gabungan politik yang diterima rakyat tanpa mengira kaum dan agama. – UTUSAN










