Gerakan sokong sesiapa pun Pengerusi PN

Gerakan sokong sesiapa pun Pengerusi PN

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan kolektif dan hala tuju Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Nasional Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai berkata, parti itu juga komited untuk menyelesaikan sebarang isu dalaman gabungan secara matang dan berhemah bagi kepentingan gabungan tersebut dalam jangka masa panjang.

“Mengulas isu berkaitan laporan sebelum ini mengenai peletakan jawatan Pengerusi PN, Muhyiddin menegaskan perkara tersebut telah diselesaikan secara baik dan harmoni.

“Berhubung jawatan Pengerusi PN yang baharu, beliau berkata keputusan rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Namun, apa jua keputusan yang dicapai, Gerakan akan memberikan sokongan penuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dominic berkata, perbincangan bersama parti-parti komponen PN berhubung pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah dijalankan secara konstruktif antara rakan gabungan.

“Gerakan akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan politik yang stabil, berprinsip dan fokus kepada penyelesaian masalah rakyat,” katanya.

Menurut Dominic, parti tersebut telah mengadakan mesyuarat pertama parti bagi tahun 2026 sebagai langkah awal memperkukuhkan kesiapsiagaan organisasi dalam menghadapi landskap politik semasa.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan persiapan menghadapi kemungkinan PRN Johor dan Melaka selain meneliti spekulasi berhubung Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)

“Mesyuarat berkenaan turut menilai secara objektif kekuatan dan kelemahan parti bagi memastikan Gerakan kekal relevan serta berdaya saing.

“Kami akan terus membawa suara rakyat dan menumpukan usaha kepada kebajikan rakyat serta masa depan negara, tanpa terjebak dalam pertelingkahan politik antara UMNO dan DAP yang disifatkan tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN