PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berpendirian semua perkara berkaitan kepimpinan hendaklah ditangani selaras dengan Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) dan mekanisme gabungan sewajarnya.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya sebagai rakan komponen dalam PN sedang mengikuti perkembangan dalaman gabungan kebelakangan ini, termasuk isu pelantikan Menteri Besar Perlis serta peletakan jawatan oleh beberapa pemimpin utama gabungan tersebut.
Katanya, Gerakan menghormati proses kolektif dalam PN dan yakin bahawa Majlis Tertinggi PN akan membincangkan serta menyelesaikan perkara ini dengan penuh kebijaksanaan dan kematangan.
“Gerakan berpendirian bahawa semua perkara berkaitan kepimpinan hendaklah ditangani selaras dengan Perlembagaan PN serta melalui mekanisme gabungan yang sewajarnya.
“Pada masa yang sama, Gerakan berharap agar semua pihak dalam PN terus bertenang dan mengekalkan fokus utama gabungan, iaitu memperkukuh perpaduan dalaman serta memperkasakan jentera menuju Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, keutamaan ini penting bagi memastikan PN tampil sebagai sebuah pilihan yang stabil, diyakini dan mampu menawarkan kepimpinan yang bertanggungjawab serta berorientasikan kepentingan rakyat dan masa depan negara. – UTUSAN










