KUALA LUMPUR: Langkah keselamatan motosikal di jalan raya di seluruh negara bakal diperluas menerusi cadangan pendekatan nasional yang akan dibawa kepada Jemaah Menteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Pengangkutan bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) diminta menyediakan kertas Jemaah Menteri bagi mencadangkan pendekatan nasional secara terselaras untuk memperluas langkah keselamatan motosikal yang terbukti berkesan.
Beliau berkata, cadangan itu perlu mempunyai keutamaan dan garis masa yang jelas serta hasil yang boleh diukur.
Beliau berkata, Malaysia merekodkan 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya tahun lalu, bersamaan 18 nyawa terkorban setiap hari dengan hampir dua daripada setiap tiga kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Katanya, kos sosioekonomi akibat kemalangan jalan raya pula dianggarkan mencecah RM30 bilion setahun, menjejaskan produktiviti, penjagaan kesihatan, pendapatan isi rumah dan ekonomi secara keseluruhan.
“Malaysia telah memulakan usaha ini melalui program keselamatan jalan raya dan penambahbaikan lorong motosikal. Namun, kita kini mesti memperluas usaha tersebut dengan melaksanakan langkah yang terbukti berkesan di lebih banyak jalan berisiko tinggi di seluruh negara.
“Oleh itu, saya menyeru Kementerian Pengangkutan bersama MIROS menyediakan kertas bersama Jemaah Menteri yang mencadangkan pendekatan nasional secara terselaras untuk memperluas langkah keselamatan motosikal yang terbukti berkesan, dengan keutamaan dan garis masa yang jelas serta hasil yang boleh diukur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penunggang motosikal merangkumi bahagian terbesar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia.
Katanya, bagi ramai orang, motosikal merupakan keperluan untuk mencari rezeki dan bukannya pilihan gaya hidup.
“Usaha meningkatkan keselamatan perlu melibatkan tanggungjawab penunggang serta penyediaan jalan raya, infrastruktur dan dasar yang lebih baik.
“Kita memerlukan penunggang yang bertanggungjawab, tetapi kita juga mesti menyediakan jalan raya yang lebih selamat, infrastruktur yang lebih baik dan dasar yang berkesan,” katanya. – UTUSAN










