PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerjasama dan muafakat dalam kalangan anggota Jemaah Menteri secara keseluruhannya masih berada pada tahap baik biarpun wujud pelbagai dakwaan terutama di media sosial.
Perdana Menteri berkata, kerjasama dalam Jemaah Menteri menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kestabilan politik dan membolehkan kerajaan merancang hala tuju negara.
“Betul, kita tidak menafikan prestasi kita membanggakan kerana dasar yang jelas, politik yang stabil, kerjasama yang ada dalam Jemaah Menteri walaupun kadang-kadang dalam media sosial itu lain sedikit.
“Tetapi dari segi kerjasama, umumnya kita muafakat dengan baik dan ini memberikan gambaran kestabilan dan boleh kita merencanakan untuk negara,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan hubungan Anwar dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan kian tegang sehingga menyebabkan mesyuarat Jemaah Menteri kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.
Memetik sumber, ketegangan tersebut dikatakan berpunca daripada keputusan Ahmad Zahid untuk Barisan Nasional (BN) menentang Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Keadaan itu difahamkan turut dipengaruhi tekanan daripada DAP supaya reformasi institusi dilaksanakan menjelang akhir tahun dan Anwar perlu mendapatkan sokongan blok Ahmad Zahid bagi mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat dibuat.
Anwar berkata, kestabilan politik yang wujud perlu dimanfaatkan kerajaan untuk meneruskan perancangan serta melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada negara.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang diraih, sebaliknya terus berusaha memastikan prestasi kerajaan dapat dipertingkatkan.
Katanya, pencapaian yang membanggakan tidak seharusnya menyebabkan kerajaan dilamun rasa enak dan senang dengan kejayaan, sebaliknya perlu menjadi dorongan untuk terus bekerja demi kepentingan negara. – UTUSAN










